Karier Zulfahmi Khairuddin dalam perlumbaan
MotoGP semakin cerah apabila pasukan Red Bull KTM Ajo telah menawarkan
secara rasmi kepada pelumba negara berusia 21 tahun itu untuk bersama
pasukan tersebut pada tahun 2013.
Berita yang cukup menggembirakan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai
Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang
berkata, Zulfahmi bakal menjadi pengganti kepada juara dunia Moto3 musim
ini, Sandro Cortese yang memilih berada dalam kategori Moto2 pada tahun
depan.
Jika menjadi kenyataan, Zulfahmi yang sekarang berlumba bersama
AirAsia-SIC-Ajo akan bergandingan bersama rakan sepasukan baru, Luis
Salom yang kini berada di tempat kedua keseluruhan.
"Pasukan Red Bull KTM telah menyatakan minat mendapatkan Zulfahmi
Khairuddin pada musim depan semasa perlumbaan di GP Jepun baru-baru ini.
"Sekarang segala perbincangan tengah berjalan dan seandainya tiada
sebarang halangan, dia bakal bergandingan dengan seorang lagi pelumba
baru, Luis Salom yang telah diumumkan bersama mereka bagi kategori Moto3
musim depan.
"Bagi saya, ini membuktikan ada pihak telah mengiktiraf kebolehan
Zulfahmi dengan segala pencapaian yang dia telah lakukan pada musim ini
dan kita memang mengharapkan agar dia mampu melangkah lebih jauh lagi
pada masa akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Zulfahmi yang cemerlang menduduki tempat kedua pada perlumbaan GP
Malaysia 2012 sekali gus menjadi pelumba tempatan pertama menjejak kaki
ke podium berada di tempat ketujuh keseluruhan dengan 112 mata.
Menyentuh mengenai pengganti Zulfahmi di dalam pasukan
AirAsia-SIC-Ajo, Razlan memberitahu pelumba Red Bull Rookies, Hafiq Azmi
menjadi pilihan namun pihaknya tidak akan terburu-buru membawa pelumba
itu menyertai MotoGP dalam masa terdekat.
"Hafiq masih muda iaitu berumur 15 tahun dan bagi memastikan dia
mempunyai persediaan yang mantap, kami berbincang untuk satu persediaan
kejohanan di Eropah.
"Dia (Hafiq) mungkin akan menyertai MotoGP musim depan dengan tiket wildcard
terlebih dahulu dan kami akan sentiasa memantau perkembangannya, jika
dia bersedia, baru dia akan didaftarkan pada perlumbaan MotoGP,"
katanya.
No comments:
Post a Comment