Kerajaan Selangor berdepan tindakan saman keempat, kali ini daripada
1,515 pengguna air di negeri ini yang menuntut ganti rugi RM863,550 atas
dakwaan tidak menerima subsidi air percuma seperti dijanjikan dalam
manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lepas.
Rushdan Mohamed, 41, mewakili 1,514 pengguna air lain dari kawasan
perumahan Flat Putra Perdana, Sepang, perumahan Flat SPNB, Taman Medan
Petaling Jaya dan perumahan Flat Seksyen 6 di sini, menamakan kerajaan
Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Syarikat
Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai defendan.
Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pukul 10 pagi melalui Tetuan Kamarudin & Partners.
Peguam Kamarudin Ahmad, yang mewakili plaintif, memaklumkan pemberita
bahawa saman itu akan diserah kepada semua defendan dalam tempoh
seminggu.
Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa semasa kempen pilihan
raya pada Mac 2008, rakyat di negeri Selangor dijanjikan mendapat air
percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna
domestik.
Plaintif mendakwa berdasarkan manifesto semasa kempen, setiap
pengguna air domestik di Selangor yang mempunyai akaun dengan Syabas
layak menerima subsidi RM11.40 sebulan tidak kira sama ada menggunakan
meter individu atau meter pukal.
Mereka mendakwa selepas memenangi pilihan raya, kerajaan negeri Selangor memulakan skim air percuma pada 1 Jun 2008.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa mereka tidak menerima subsidi air
percuma itu dan mendapati tidak ada sebarang potongan 20 meter padu
pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan Syabas.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM863,550
daripada kerajaan negeri dan/atau Syabas, atau secara alternatif dibayar
ganti rugi sejumlah potongan 20 meter padu air yang mereka bayar
setakat ini dari Jun 2008 sehingga September 2012.
Mereka juga menuntut pengisytiharan bahawa Skim Air Percuma yang
dijanjikan kerajaan Selangor merangkumi semua pengguna air di negeri ini
tanpa mengira sama ada pengguna meter pukal atau individu, perintah
injunksi mandatori agar Syabas mengeluarkan bil air dengan rebat atau
potongan yang dijanjikan kepada plaintif, faedah empat peratus dan relif
lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
No comments:
Post a Comment