KERIAN - Penduduk kampung tersusun Raja Bashah Kuala Kurau, di sini
gempar dengan gangguan kelibat lembaga berkain putih atau dikenali
sebagai hantu ‘pocong’ sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka
takut keluar rumah terutama waktu malam.
Seorang saksi kejadian, Mohd Desa Ahmad, 52, berkata, cerita kewujudan
hantu itu mula tersebar di seluruh kampung sejak tiga bulan lalu apabila
sebanyak tiga kes penemuan lembaga berkenaan dilaporkan sehingga kini.
Menurutnya, pengalaman terserempak dengan lembaga menyerupai hantu
pocong benar-benar memberi igauan buruk setelah sebelum ini menganggap
dakwaan beberapa penduduk sebagai tidak berasas.
“Kejadian itu berlaku semasa saya sedang mengambil angin di luar rumah
baru-baru ini dan tercium bau aneh seakan-akan bau tanah kubur sewaktu
sedang menghisap rokok.
“Pada masa sama, saya mendapati terdapat sebuah motosikal sedang
melintasi hadapan rumah dan alangkah terkejutnya apabila terdapat satu
objek berbungkus kain putih sedang ‘membonceng’ motosikal itu tanpa
disedari penunggangnya,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di
rumahnya di sini semalam.
Mohd Desa berkata, dia tergamam melihat objek berbungkus itu buat
seketika, bagaimanapun keadaan menjadi lebih mengerikan apabila muncul
di hadapannya secara tiba-tiba.
“Sedang saya tergamam melihat kejadian itu, tiba-tiba objek itu hilang
dan paling memeranjatkan, lembaga itu muncul di hadapan saya dalam jarak
10 meter.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika ini dan saya segera meluru
masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap serta pintu tanpa
berfikir panjang,” katanya.
Seorang lagi saksi kejadian, Salleh Mat, 58, berkata, semasa kejadian
dia bersama isteri dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu sambil
menonton televisyen pada jam 11 malam.
“Pada masa itu saya hendak menutup pintu belakang rumah kerana sudah
lewat malam. Saya perasan ada kelibat seseorang di luar rumah berpakaian
serba putih namun tidak berapa jelas kerana keadaan pada masa itu
terlalu gelap.
“Saya pun turun dari rumah dan memberanikan diri untuk melihat dengan
lebih dekat. Bagaimanapun, kelibat lembaga itu merupakan sebuah objek
berbungkus yang menyerupai tubuh mayat yang dikafankan,” katanya.
Salleh yang terperanjat dengan kejadian itu terus memasuki rumah dan
mengunci semua pintu dan tingkap sehingga menimbulkan kehairanan isteri
dan anak-anaknya.
“Saya yakin lembaga yang saya lihat merupakan hantu pocong berdasarkan
bentuk sama seperti manusia yang dikafankan di mana kain yang membaluti
tubuh amat pudar selain mempunyai satu ikatan di atas kepala,” katanya.
Sementara itu, sumber dari penduduk asal kampung menceritakan kejadian
ini dikatakan sering berlaku semasa pembukaan kampung ini sekitar tahun
1980-an sebelum isu itu lenyap beberapa tahun kemudian.
Bagaimanapun, kejadian penduduk ‘diganggu’ hantu pocong berulang
kembali dipercayai berpunca perlaksanaan projek penempatan semula
penduduk kampung yang dikatakan ‘mengganggu’ kediaman asal makhluk halus
di sini.
“Berdasarkan cerita orang tua sebelum ini, kampung ini sebelum dibuka
dipenuhi hutan nipah dan hutan paya bakau. Dikatakan pelbagai perkara
buruk berlaku semasa pembukaan kampung.
“Ia disebabkan di kawasan hutan nipah ini terdapat banyak kubur-kubur
lama yang tidak bertanda selain sebuah kubur ‘keramat’ yang dikatakan
turut terletak di kawasan kampung kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Radhi berkata, lokasi
pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau dan
kawasan sekitarnya dikatakan berasal dari tapak perkuburan lama yang
banyak terdapat di kawasan itu.
“Semasa pembinaan pangkalan itu, terdapat gangguan sebegini dialami
penduduk kampung sebelum perkara sama berulang kembali sejak tiga bulan.
“Kami tidak menolak kemungkinan ‘kemunculan’ kembali makhluk berkenaan
disebabkan kerja pembinaan penempatan semula penduduk kampung yang
sedang dijalankan yang dipercayai menyebabkan makhluk itu ‘marah’ dan
mengganggu kami,” katanya.
Salam Perjuangan,
ReplyDeleteBlog saudara telah saya linkkan dalam blog Sungai Rapat Online under PCT
tima kasih bro...
Delete