Jumlah Pengunjung

Thursday 11 October 2012

TERIMA KASIH BARISAN NASIONAL DARI KAUM TIONGHUA PERAK...

''Dulu kita undi pembangkang sebab mereka janji mau tolong kita, sekarang yang banyak tolong kita BN, jadi pilihan raya nanti kita akan undi BN...''
Itulah kata-kata seorang penduduk berketurunan Tionghua ketika ditemui penulis di Kuala Kurau, Perak pada Sabtu lalu.
Sememangnya tidak dapat dinafikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) di Perak semakin meningkat. Namun persoalannya mampukah BN bertahan di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?
Tidak dapat dinafikan tumbangnya kerajaan BN biar pun hanya 11 bulan di negeri tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah mimpi ngeri untuk parti berkenaan.
Jika keputusan pilihan raya umum lalu dikaji, fakta jelas menunjukkan BN tidak akan tumbang di negeri berkenaan jika parti itu berupaya mempertahankan kelima-kelima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Perak Utara khususnya di Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai.
Bagaimanapun rakyat kawasan itu membuat keputusan mengejut 'menyerahkan' kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengekalkan BN di kerusi DUN Alor Pongsu dengan majoriti 95 undi dan mengundi kedua-dua parti pembangkang itu untuk menguasai kerusi DUN Titi Serong, Kuala Kurau, Gunung Semanggol dan Selinsing.
Walaupun keputusan berkenaan mengecewakan BN, namun parti tersebut tidak mahu terus bermuram durja selama-lamanya, BN Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir bangkit daripada kekecewaan dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kedua-dua kawasan Parlimen dan empat DUN di kawasan tersebut biarpun berada di bawah pembangkang.
Langkah itu dilakukan kerana kerusi-kerusi berkenaan harus dikembalikan kepada BN dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti itu di Perak. Sebab itulah seperti mana kata, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad, BN melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Zambry memastikan kedua-dua kawasan Parlimen itu tidak ditinggalkan.
''Kita mahu buktikan kepada rakyat bahawa hanya BN yang paling layak membela nasib mereka dan kini mereka melihat sendiri bagaimana bersungguh-sungguhnya kerajaan Pusat dan kerajaan negeri membangunkan kawasan mereka," katanya dalam pertemuan khas dengan Utusan Malaysia di Bagan Serai, Sabtu lalu.
Menurut Sharudin yang menganggotai Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Kerian, ketika ini BN melaksanakan pelbagai projek bernilai jutaan ringgit untuk mengubah wajah Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar. Projek itu termasuklah Rancangan Tambatan Banjir yang bernilai RM460 juta, pembinaan persimpangan bertingkat dan Plaza Tol Alor Pongsu serta mini kompleks Sukan dan Dewan Milenium .
''Semua projek ini apabila siap kelak akan mampu meningkatkan taraf hidup penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu," katanya.
Sebagai seorang pemimpin yang sentiasa turun padang bertemu masyarakat termasuk generasi muda, Sharudin amat memahami keperluan penduduk khususnya di kawasan Parlimen Bagan Serai.
''Selain projek itu, apa yang ingin kita lihat ialah kawasan Parlimen Bagan Serai terutamanya dibangunkan sebagai sebuah kawasan industri.
''Langkah ini penting kerana kita ingin memberi jaminan masa depan kepada penduduk-penduduk khususnya generasi muda yang mengharapkan peluang pekerjaan supaya mereka tidak berhijrah ke kawasan lain,'' katanya.
Kesungguhan BN membangunkan kawasan Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar turut diakui oleh Pegawai Daerah dan Tanah Kerian, Kamaruddin Awang yang yakin bahawa banyak lagi limpahan pembangunan akan dinikmati oleh penduduk jika kedua-dua kawasan itu dikembalikan kepada BN.
''Sepanjang saya berada di sini, saya dapat melihat kesungguhan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri membangunkan kedua-dua kawasan berkenaan.
''Pelbagai projek dilaksanakan, selain pembangunan, tumpuan juga turut diberikan untuk meningkat keselesaan hidup rakyat seperti pembinaan hospital pakar yang boleh menempatkan 150 katil, bantuan membaik pulih rumah golongan nelayan dan bantuan memperbaiki masjid,'' katanya kepada penulis.
Keyakinan Kamaruddin ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO dan rakyat di kawasan-kawasan tersebut.
Sebaliknya, mereka perlu bersungguh-sungguh untuk memastikan impian tersebut tercapai kerana menguasai semula kerusi Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai serta memastikan panji-panji BN berkibar semula di Titi Serong, Kuala Kurau, Gunung Semanggol dan Selinsing bukanlah suatu misi yang mustahil.
Kawasan-kawasan berkenaan sebelum ini adalah milik BN dan berdasarkan kepada kegigihan Najib, keprihatinan Muhyiddin dan kesungguhan Zambry melaksanakan pelbagai projek di situ maka sudah pasti langkah itu akan menambat hati rakyat.
Apa yang perlu BN dan UMNO Perak lakukan ialah meletakkan calon sesuai yang boleh diterima oleh rakyat atau istilah calon boleh menang.
Dari segi masalah dalaman, penulis diberitahu, perkara itu sudah ditangani dengan penuh kebijaksanaan oleh kepimpinan Pusat dan negeri.
''Kini tumpuan kita untuk mencari calon, saya berpendapat kegigihan dan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin muda seperti Sharudin yang sentiasa turun bertemu rakyat dan mendampingi generasi muda serta memahami kehendak mereka perlu diberi perhatian.
''Begitu juga dengan sikap dua ADUN yang tewas dalam pilihan raya umum lalu iaitu Mohd. Salleh Mat Disa (Kuala Kurau) dan Abu Bakar Mat Ali (Titi Serong. Mereka ini tidak pernah kenal erti kecewa selepas tewas, sebaliknya terus berbakti kepada rakyat. Pandangan ini berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada rakyat di kawasan mereka,'' kata satu sumber kepada penulis.
Sememangnya, Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai tidak memerlukan calon bidan terjun dalam pilihan raya umum akan datang.
Keadaan itu memandangkan di kedua-dua kawasan berkenaan penulis difahamkan UMNO mempunyai ramai calon-calon yang boleh diketengahkan di kalangan generasi muda termasuklah yang memegang jawatan di peringkat bahagian.
''Berilah peluang kepada mereka kerana kita mahukan calon yang apabila menang sentiasa berada di kawasan dan bukannya pulang seminggu sekali.
''Begitu juga dari segi umur, pilihlah calon yang boleh memenuhi cita rasa pengundi muda kerana golongan itu merupakan pengundi terbanyak, contohnya di Parlimen Bagan Serai akan dapat tidak kurang 11,000 pengundi muda yang kali pertama akan mengundi,'' kata seorang pemimpin UMNO Perak ketika dihubungi.
Apa pun kerusi Parlimen dan DUN di Parit Buntar dan Bagan Serai amat penting untuk BN kerana kawasan berkenaan bakal memastikan 'tragedi 2008' tidak berulang.
Setakat ini peluang BN agak cerah kerana rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan semakin memahami parti mana yang menepati janji dan puak mana pula yang sekadar saudagar mimpi. Namun tugas BN belum selesai kerana keyakinan rakyat itu perlu diterjemahkan dalam bentuk undi bagi memastikan sebuah kemenangan sejati.

No comments:

Post a Comment

Member BSK