Gerak hati
seorang ibu yang ingin melihat keadaan dua anak gadisnya sebaik terjaga
daripada tidur kira-kira jam 3.30 pagi membawa kepada penemuan
mengaibkan apabila dua beradik berusia 13 dan 15 tahun itu didapati
tidur berpelukan bagai suami isteri bersama teman lelaki masing-masing.
Kejadian
berlaku di rumah mereka di Kampung Sri Gombak Indah, dekat sini, pada
awal pagi Rabu lalu dan ia sesuatu yang amat mengejutkan ibu terbabit
serta suaminya kerana tidak menduga anak gadis mereka yang masih
bersekolah berani bertindak sedemikian.
Sedih dan
kecewa dengan apa yang dilihatnya, ibu berkenaan lantas memberitahu
suaminya dan si ayah turut tergamam melihat kedua-dua anak gadisnya
tidur berpelukan dengan lelaki bukan muhrim dalam sebuah bilik.
Selepas
dikejutkan daripada tidur, dua beradik itu dan teman lelaki
masing-masing yang berusia 17 dan 20 tahun memohon maaf serta merayu
supaya dimaafkan, namun si ayah yang terlalu kecewa nekad melaporkan
kejadian itu kepada polis.
Polis menahan kedua-dua lelaki terbabit sebelum membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk disoal siasat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Menurutnya, kekasih gadis terbabit yang ditahan polis ketika kejadian kini reman hingga 28 Disember ini bagi membantu siasatan.
“Kes itu
diklasifikasikan sebagai rogol kerana kedua-dua gadis terbabit masih di
bawah umur dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Mereka
dijangka dibawa ke Mahkamah Seksyen Shah Alam lusa untuk menghadapi
pertuduhan,” katanya.
No comments:
Post a Comment