Jumlah Pengunjung

Sunday 3 February 2013

Ahli Tegar PAS Kelantan Nekad Masuk UMNO !!!



"Pas sudah berubah. Parti itu kini sudah jauh dari landasan perjuangan Islam yang dipegang selama ini demi menjaga kepentingan sekutu mereka Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP."
Itulah luahan ikhlas dari seorang ahli tegar Pas, Meli Awang Seman, 63, yang kecewa dengan parti itu dan mengambil keputusan untuk menyambung wadah perjuangannya bersama UMNO yang ternyata lebih mengutamakan rakyat, agama, bangsa dan negara.
Meli adalah di antara 35 ahli tegar Pas dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau di sini yang mengambil keputusan menyertai UMNO.
Borang menyertai UMNO itu telah diserahkan oleh Meli selaku wakil kepada ahli Pas yang lain kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Baharudin Yusof dalam satu majlis yang dihadiri lebih 2,000 orang di Kawasan Rukun Tetangga Taman Barakah di sini malam tadi.
Meli berkata, Pas sekarang sudah tidak seperti dahulu, mereka telah memungkiri pelbagai janji terutamanya berkaitan penubuhan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.
Selain itu, katanya, Pas juga telah gagal memberikan pembangunan di negeri ini dan lebih menyedihkan mereka juga sanggup menggadai tanah kepada orang luar tanpa memikirkan masa depan rakyat sendiri.
"Tanah diberikan kepada orang luar sehingga rakyat sendiri hidup melarat. Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat di negeri ini telah memberikan kepercayaan kepada mereka," katanya.
Seorang lagi bekas ahli Pas, Zulkifli Ghazali, 40, berkata, perjuangan Islam sudah tidak ada lagi pada Pas dan mereka juga tidak mempunyai pendirian yang tegas seperti dahulu.
"Pas tunduk kepada PKR dan DAP sehingga isu besar seperti penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam mereka 'halalkan' pada mulanya sebelum bertindak menarik balik itupun selepas menerima pelbagai desakan," katanya.
Sementara itu, Baharudin Yusof berkata, sejak tahun 2010 sehingga kini hampir 2,000 ahli Pas tegar di kawasan ini telah menyertai UMNO setelah tidak tahan lagi dengan sandiwara parti itu.
Katanya, selepas ini dan sehingga menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti akan terdapat banyak lagi ahli Pas khususnya di Parlimen Tanah Merah akan menyertai UMNO.
"Rakyat negeri ini dilihat sangat dahagakan perubahan dan gelombang itu terus berlaku dengan ahli-ahli Pas yang sebelum ini tegar dengan parti itu sudah semakin ramai menyertai UMNO," katanya.





No comments:

Post a Comment

Member BSK