Jumlah Pengunjung

Tuesday, 18 December 2012

MODUL PENGURUSAN POLIGAMI WAJAR DI WUJUDKAN !!!

Modul Pengurusan Poligami wajar diwujudkan

Masyarakat Malaysia biasa memperkatakan tentang isu poligami yang kadangkala disalah ertikan oleh sesetengah pihak lantaran cetek pengetahuan serta kurang maklumat berkaitan pengurusan poligami mengikut syarak Islam. Kesilapan yang dilakukan oleh pengamal poligami sedikit sebanyak menjadi trauma kepada yang lain untuk menerima poligami seperti yang digariskan oleh Islam.
Sehubungan itu, Institut Latihan Islam Malaysia, ILIM mengambil inisiatif menjemput panel-panel yang berkebolehan membicarakan isu pengurusan poligami di Malaysia. Wacana Isu Munakahat “ Pengurusan Poligami di Malaysia : Isu dan Permasalahan “ telah dibicarakan di Auditorium Al Ghazali, ILIM pada 29 November 2012.
Wacana  tersebut dimulakan dengan sesi perkongsian pengalaman yang dikongsikan oleh pengamal poligami iaitu Tuan Hj. Baharuddin bin Giman selaku suami yang berpoligami dan Puan Hjh. Khadijah binti Hj. Mustafa selaku isteri pertama dalam poligami. Perkongsian pengalaman oleh dua panel jemputan telah banyak memberi pendedahan kepada hadirin yang hadir akan kemanisan di dalam kepahitan berpoligami serta petua-petua yang diamalkan oleh suami dan isteri yang berpoligami bagi mengekalkan keharmonian rumahtangga.
Seterusnya wacana diteruskan dengan kupasan tajuk “Prosedur Permohonan Poligami di Malaysia” yang dikupas oleh YAA Tuan Amir bin Danuri, Ketua Hakim Syarie Johor Bharu. Beliau banyak memberi pendedahan akan ketelitian undang-undang di Malaysia di dalam menilai kelayakan berpoligami supaya tidak berlaku penganiayaan atau penindasan setelah berpoligami. Seterusnya, tajuk “Hak Suami, Isteri-isteri dan Bakal Isteri” telah dikupas dengan baik oleh YBhg. Dato’ Mohd Zaidi bin Zain, seorang Peguam Syarie tersohor Malaysia. Beliau banyak berkongsi pengalaman kes-kes yang diuruskan oleh beliau sepanjang terlibat dengan kes poligami.
Wacana dilanjutkan ke sesi petang dengan kupasan tajuk “ Poligami Menurut Perspektif Islam : Poligami Jangan Disalah Erti, Pelbetulkan Persepsi” oleh YBhg. Prof. Dr. Raihanah binti Hj Abdullah, Pensyarah Universiti Malaya. Melalui slot tersebut, banyak persoalan yang diajukan lantaran ramai yang berminat mengetahui dengan lebih jelas keharusan poligami dan kecelaruan persepsi yang masih menular di dalam masyarakat.
Sesi soal jawab banyak mendedahkan jawapan yang mampu mengubah persepsi masyarakat tentang poligami serta berjaya mengusulkan beberapa cadangan baik seperti mewujudkan Modul Pengurusan Poligami agar menjadi panduan khusus bagi yang ingin atau pun yang telah berpoligami. Modul yang dibina dipercayai dapat membantu umat Islam mendaulatkan kesucian Islam dengan cara yang betul tanpa mencemarkan apa yang telah diamalkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta para sahabatnya sebelum ini.
YAA Tuan Amir bin Danuri, Ketua Hakim Syarie Johor Bharu sedang menjawab soalan peserta
YBhg. Dato'  Mohd Zaidi bin Zain, Peguam Syarie Malaysia
Antara penonton yang hadir
Seorang peserta yang mengajukan soalan kepada panel.

No comments:

Post a Comment

Member BSK