UDA Holdings Bhd (Uda) akan memulakan projek pembinaan pangsapuri di kawasan Tanjong Tokong, Pulau Pinang awal tahun depan dan dijangka siap pada penghujung 2014.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pembinaan berkenaan membabitkan dua fasa berasingan dengan fasa pertama terdiri daripada 550 unit kediaman yang akan diberikan kepada penduduk asal kawasan itu.
“Projek ini adalah kesinambungan daripada usaha yang dilakukan mantan Perdana Menteri, Tun Abd Razak yang ingin melihat kawasan Tanjong Tokong dibangunkan secara tersusun.
“Maka, Uda diberi mandat untuk melaksanakan projek ini dan unit kediaman akan diberikan secara percuma kepada penduduk asal dan sebahagiannya akan dijual pada harga istimewa,” katanya.
Menurutnya, untuk fasa pertama pembinaan, pihaknya akan membina 550 unit kediaman pangsapuri sembilan blok dan disusuli fasa kedua dengan 650 unit.
Penduduk asal kawasan berkenaan akan menerima kediaman berkenaan secara percuma manakala waris mereka atau penyewa yang sudah menetap di situ dalam satu tempoh lama layak membeli kediaman berkenaan pada harga diskaun.
“Bagi waris pemilik asal dan penyewa akan ditawarkan harga jauh lebih rendah berbanding pasaran iaitu sekitar RM23,000 seunit,” katanya.
“Kawasan penempatan ini sudah wujud berpuluh-puluh tahun dulu dan kami akan membangunkan semula kawasan ini menjadi penempatan yang lebih tersusun dan selesa.
“Kami juga akan memastikan kemudahan sedia ada seperti masjid dan madrasah dapat dibangunkan semula untuk keselesaan penduduk setempat,” katanya.
Nur Jazlan berkata, pihaknya sudah membuka tender pemilihan kontraktor dan ia akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment