Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi alasan terpaksa mengenakan bayaran tol bagi terowong dasar laut yang mahu dibinanya kerana takut kalah kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
Menurut Guan Eng, projek berkenaan adalah untuk kemudahan rakyat dan Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu ia disiapkan tanpa gangguan.
"Kerajaan negeri tidak mahu dituduh cuba mensabotaj projek kerajaan Pusat sekiranya tidak mengenakan bayaran tol untuk terowong sepanjang 7.2 kilometer (km) dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam.
"Kita tiada pilihan, sekiranya tidak mengenakan tol, Kerajaan Persekutuan ada alasan untuk halang perjalanan projek ini dan mungkin tidak ada orang akan guna Jambatan Kedua Pulau Pinang.
"Ini akan menjadi alasan kukuh untuk kerajaan Pusat halang projek ini," katanya ketika sesi dialog projek itu bersama penduduk Seberang Perai di Dewan Besar Sungai Dua di sini hari ini.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pihaknya tidak mahu berkonflik dengan Barisan Nasional (BN) dalam isu tersebut dengan alasan akan kalah.
"Kalau nak berperang dengan mereka, biarlah kita tahu ada peluang untuk menang. Kalau dengan cara macam ini, sudah pasti kita akan kalah," katanya.
Projek bernilai RM6.3 bilion termasuk tiga pakej lebuh raya itu mendapat bantahan penduduk negeri ini yang bimbang perlaksanaannya bakal memberi pelbagai impak buruk.
Sementara itu, Guan Eng juga dilihat menggunakan forum tersebut untuk menyalahkan BN dalam beberapa projek di Pulau Pinang sebelum ini.
No comments:
Post a Comment