Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang terlibat dalam pendedahan rakaman video seks seorang lelaki didakwa pemimpin pembangkang dengan wanita dipercayai pelacur dari China mendakwa diekori dan dipujuk dengan sejumlah wang untuk menandatangani akuan bersumpah supaya membuat 'pusingan U' mengenai pendedahan tersebut.
Tan Sri Rahim Tamby Chik yang juga terlibat dalam pendedahan video seks itu bersama-sama Datuk Shuaib Lazim dan menggelarkan diri mereka trio "Datuk T" itu berkata, Shazryl Eskay cuma perlu menandatangani akuan berkanun yang telah disiapkan.
"Saya telah diberitahu oleh Shazryl Eskay bahawa jika beliau bersetuju (membuat pusingan U), dia akan diberi ganjaran wang dengan jumlah yang ditentukan sendiri oleh beliau," kata Rahim dalam sidang akhbar di ibu pejabat RISDA di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Pengerusi Gagasan Ekonomi Melayu (Gabem) itu, ketika ini hanya Shazryl Eskay yang diekori dan dipujuk dengan ganjaran tersebut oleh individu yang tidak dikenali.
"Apa yang kita perjuangkan untuk menegakkan kebenaran, ini bukan untuk dijual beli... Jangan buang masa (menganggap) bahawa trio Datuk T ini bukan seperti sesetengah orang yang membuat 'pusingan U' dan mudah dibeli," tegas Rahim.
Menurutnya, Shazryl Eskay yang pada awalnya dijadualkan hadir sama pada sidang akhbar itu terpaksa membatalkan hasrat kerana bimbang dengan keselamatannya.
Pendedahan video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin parti pembangkang itu dibuat trio Datuk T pada 21 Mac 2011 di Hotel Carcosa Seri Negara.
Malahan Shazryl Eskay turut membuat sumpah laknat di Masjid Amrul Al-as, Bandar Baru Sentul, di sini pada 29 April 2011 bagi membuktikan pendedahan tersebut adalah benar.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete