Kumpulan
Felda serta Felda Global Ventures Holdings (FGV) akan mengambil tindakan
undang-undang ke atas akhbar pembangkang, Suara Keadilan dan Harakah kerana
memfitnah Felda mempunyai hubungan urus niaga dengan Israel.
Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan
tersebut ekoran laporan berita muka hadapan Suara Keadilan bertajuk Najib
Mesra Israel pada 27 November 2012 dan laporan Harakah bertajuk Minyak
Sawit Jual ke Israel bagi edisi 26 hingga 29 November 2012.
Beliau
memberitahu, kedua-dua akhbar itu telah memfitnah Felda apabila mendakwa
syarikat Bunge Agribusiness Singapore Private Limited yang mempunyai urus niaga
dengan Felda adalah sebuah syarikat Israel.
"Bunge
Agribusiness Singapore Private Limited bukannya sebuah syarikat Israel, ia
adalah anak syarikat Bunge Limited, sebuah syarikat senaraian awam di Amerika
Syarikat iaitu negara yang mana Malaysia sememangnya mempunyai hubungan
diplomatik dan perdagangan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Laporan
dalam lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta akhbar milik Pas itu
memaparkan dakwaan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak),
Mazlan Aliman bahawa Felda menjual minyak sawit kepada sebuah syarikat Israel.
Menurut
Ahmad, ini bukan kali pertama Felda difitnah sedemikian rupa kerana pada bulan
Mac lalu, syarikat usahasama, Felda-Iffco Sdn. Bhd. telah difitnah menghantar
minyak sawit ke Israel sedangkan produk yang dilabuhkan di negara itu adalah
untuk dipasarkan kepada rakyat Palestin.
Jelasnya,
perbincangan dengan pengurusan tertinggi Kumpulan Felda serta peguam syarikat
telah diadakan agar tindakan saman dapat diambil terhadap fitnah terbaharu
daripada pembangkang itu.
Beliau
memberitahu, fitnah pembangkang itu adalah antara punca mengakibatkan saham FGV
tidak menentu selain daripada faktor pasaran minyak sawit dunia.
No comments:
Post a Comment