Jumlah Pengunjung

Saturday, 9 March 2013

Cerita Rumah KOS Rendah Di Selangor !!!




5 Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat - Jumlah Rumah Kos Rendah Terlalu Rendah?

Ramai yang bertanya, selama 5 tahun PKR memerintah Selangor, berapa banyakkah rumah kos rendah yang telah dibina, dan di mana?  Serta berapa harganya?  Ini kerana maklumat mengenainya adalah berbeza-beza dan meragukan.  

Antara laporan kerajaan Selangor menyatakan bahawa sebanyak 5,612 projek rumah kos rendah telah dirangka.  Dari jumlah itu hanya 287 yang telah disiapkan pada tahun lepas.  

Kemudian terdapat pula kenyataan daripada kerajaan negeri Selangor pada 30 Oktober 2012 yang menyatakan bahawa 6,470 rumah kos rendah telah dibina sejak 2008. 

Di celah-celah itu, kita juga dikejutkan dengan kenyataan Menteri Besar Selangor yang mencadangkan golongan berpendapatan tinggi untuk membeli rumah kos rendah tanpa sebarang syarat bagi mengatasi masalah rumah kategori itu yang masih tidak terjual.  

Kenapakah satu isu yang mudah ini menjadi begitu sukar dan berbelit-belit walaupun ia hanya berkisar mengenai angka?  Sedangkan ‘angka’ tidak boleh ditipu atau diubah-ubah.  Jika 1000 rumah kos rendah yang terbina, ia tidak mungkin boleh menjadi 2,000 atau 500 walau bagaimana sekali pun kita cuba memusingkan faktanya.  

Rakyat sudah mula memahami bahawa isu rumah kos rendah di Selangor adalah isu yang mendapat tempat paling bawah dalam keutamaan kerajaan negeri yang mementingkan keuntungan dan meletakkan ‘angka’ pendapatan negeri sebagai bukti kejayaan pemerintahan.  

Di bawah kerajaan Barisan Nasional, tanah-tanah yang dicadangkan untuk pembinaan rumah kos rendah dijual kepada pemaju dengan harga RM1/kaki persegi bagi membantu pemaju membuat untung dalam usaha membantu rakyat miskin memiliki rumah.   Namun, kerajaan Pakatan Rakyat telah menjadikan ‘tanah’ sebagai perniagaan dan sumber tersebut kini dinilai mengikut harga pasaran.  

Logiknya, tiada pemaju yang berniaga untuk kebajikan dengan membina rumah kos rendah di atas tanah yang bernilai tinggi.  Maka, tentulah sukar bagi kerajaan negeri untuk merealisasikan projek rumah kos rendah sepertimana yang diwar-warkan.  

Pada November 2012, Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai telah menyuarakan keprihatinan parti itu terhadap masalah golongan berpendapatan rendah di Selangor untuk memiliki rumah sendiri.  Beliau telah secara langsung mencadangkan agar kerajaan Selangor memberikan sahaja tanah kepada kerajaan persekutuan untuk membina projek tersebut.  

Kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya mengambil pendekatan seimbang dalam membangunkan projek komersial dan mewah serta memastikan yang kebajikan rakyat menjadi keutamaan dalam apa jua keputusan yang diambil.  

Pendekatan inilah yang dipegang oleh Barisan Nasional sehingga membolehkan negara mencapai apa yang telah dicapai pada hari ini.  

Amat malang bagi rakyat Selangor kerana kerajaan PR langsung tidak berminat dengan kebajikan rakyat.  

Walaupun hartanah di Selangor menjadi topik hangat  kerana akibat harga yang mencanak-canak tingginya, berita-berita mengenai hartanah di Selangor dan Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan oleh majalah-majalah hartanah menggambarkan kawasan ini sebagai paling menarik di Asia bagi pembelian hartanah.  Sudah tentu, berita sebegini adalah untuk menarik pembeli dari luar dan bukan untuk penduduk tempatan yang pastinya tidak mampu membeli hartanah tersebut.  

Apa yang berlaku ini menggandakan lagi ‘kerugian’ di pihak rakyat Selangor kerana sudahlah mereka tidak mampu memiliki hartanah kerana terlalu mahal, mereka terpaksa pula menerima hakikat bahawa sebahagian besar hartanah di negeri ini bakal dimiliki oleh orang asing.  

Berdasarkan fakta ini, PR telah membuktikan bahawa parti itu mungkin merupakan peniaga yang bijak, tetapi bukan sebuah kerajaan yang baik.  

Selama lima tahun sahaja, PR sudah begitu banyak sekali merugikan rakyat Selangor, bayangkan jika lima tahun lagi diberi mandat untuk memerintah negeri ini, tidak mustahil, rakyat berpendapatan rendah akan dipijak-pijak sehingga separuh mati oleh kerajaan negeri sendiri.  




No comments:

Post a Comment

Member BSK