Datuk Seri Najib Tun Razak
menegaskan, pemberian undi kepada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 nanti akan membawa kerosakan akidah, perpecahan kaum dan penindasan ke
atas kaum tertentu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri
menegaskan, rakyat perlu memahami bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN)
sahaja yang berjuang untuk negara ini dan kemajuan orang Melayu serta kaum
lain.
"Yakin dan percayalah satu undi
untuk PKR (Parti Keadilan Rakyat) bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah
dan kerosakan umat. Satu undi untuk Pas bermakna satu undi untuk perpecahan.
Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan ke atas bangsa tercinta.
"Satu undi untuk UMNO dan BN
adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu
undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan
bangsa Malaysia," katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO
menegaskan demikian ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan
Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib berkata, inilah masanya untuk
ahli-ahli UMNO berada dalam barisan yang bersatu bagi menentang fitnah daripada
Pas, menentang pluralisme daripada PKR dan menentang perkauman daripada DAP.
"Adakah kita mahu anak-anak
kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah
kita mahu anak-anak kita gelap masa depan? Adakah mahu negara ini porak
peranda? Adakah kita sanggup memperjudi masa depan negara?
Kalau semua jawapan tidak, katakan
"tidak" pada PKR, katakan "tidak" kepada Pas dan katakan
"tidak" kepada DAP," katanya.
Beliau juga meminta, ahli-ahli UMNO
supaya membayangkan segala kesyukuran, kedamaian dan kebahagiaan yang dikecapi
dan dinikmati serta yang akan terus dirasai hasil pemerintahan UMNO dan BN
berbanding jika pembangkang yang memerintah.
"Bayangkan juga segala
kehancuran, kemusnahan, kerosakan, porak peranda dan kebangsatan jika pilih
pembangkang. Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah, demi
anak cucu kita, mesti setia kepada perjuangan UMNO.
"Yakinlah hanya UMNO yang mampu
mempertahan kesucian agama Islam. Hanya UMNO yang mampu membela nasib bangsa
Melayu dan kaum-kaum lain. Katakan dalam jiwa kita, hidup dan mati hanya untuk
Islam. Wajib pertahankan UMNO kerana UMNO pertahankan Islam," katanya.
No comments:
Post a Comment