Semua pengundi berdaftar yang kini
berjumlah 13 juta orang wajib menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang kerana jelas Penasihat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak layak menjadi seorang pemimpin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd.
Shafie Apdal berkata, terlalu banyak petunjuk serta petanda yang diberikan oleh
Allah SWT kepada rakyat negara ini sejak lebih sedekad lalu hingga ke saat ini
bagi membuktikan keredaan-Nya yang tidak pernah berpihak kepada Anwar.
Beliau berkata, rakyat harus sedar
Anwar pernah memangku jawatan Perdana Menteri selama tiga bulan ketika di dalam
kerajaan dan seharusnya Ketua Pembangkang itu tiada masalah untuk menjadi
Perdana Menteri tetapi itu tidak berlaku.
"Bukan Tun Abdullah Ahmad
Badawi atau Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Perdana Menteri tetapi
Anwar. Anwar pernah memangku jawatan Perdana Menteri dan terlalu hampir untuk
memegang jawatan tersebut tetapi atas kehendak Allah, Anwar gagal.
"Allah telah memberi banyak
petunjuk kepada kita berhubung dengan Anwar. Oleh itu, saya meminta bukan
sahaja kepada ahli UMNO dan penyokong BN tetapi juga kepada semua 13 juta
pengundi berdaftar supaya mereka terus memberi mandat kepada Najib dan BN pada
pilihan raya umum akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Mohd. Shafie berkata, mesejnya itu
turut termasuk kepimpinan parti-parti pembangkang yang lain khususnya DAP dan
Pas kerana jelas mereka tidak akan mampu mentadbir negara dan membela nasib
rakyat.
"Rakyat tiada pilihan lain.
Mereka perlu memberi mandat kepada BN pada pilihan raya akan datang demi agama,
bangsa dan negara," ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut
mengingatkan semua ahli dan pemimpin mengenai faktor calon boleh menang yang
perlu dipertahankan bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan
datang.
"Calon-calon yang tidak
terpilih pada pilihan raya umum akan datang, tidak bererti mereka disisihkan
daripada parti sebaliknya itu merupakan satu pengorbanan demi masa depan
generasi akan datang.
"Yakinlah pengorbanan yang
mereka lakukan ini boleh membuatkan masa depan zuriat kita lebih
cemerlang," ujarnya.
No comments:
Post a Comment