Jumlah Pengunjung

Sunday, 25 August 2013

MALAYSIA GUNA ALAT PENGESAN PENJENAYAH !!! TAHNIAH PDRM...



Kerajaan meluluskan pemasangan peranti pengawasan elektronik (EMD) ke atas penjenayah tertentu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pemasangan alat yang dijangka dilaksana hujung bulan depan itu dapat memantau pergerakan penjenayah terutama membabitkan jenayah berat.

"Kita hanya mencadangkannya dan bukannya meluluskan, ia diluluskan kerajaan sebagai sebahagian undang-undang ketika SOSMA diperkenalkan. Lebih cepat pelaksanaannya lebih baik dan dijangka pada September ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Forum 'Pandangan Terhadap Undang-undang Semasa dan Pendekatan Lain Ke Arah Memerangi Jenayah Berat Secara Berkesan' di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Abdul Gani mengulas pembentangan wakil Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Farah Intan Burhanudin dalam forum berkenan yang memaklumkan EMD sedia dilaksana hujung bulan depan.
Beliau yang juga Penganalisis Kanan PEMANDU berkata, pemakaian alat itu sudah dilaksana di banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS) sejak 1994 dan berjaya mengurangkan risiko penjenayah yang diberi jaminan polis kembali mengulangi aktiviti sama.

Sementara itu, ketika berucap dalam forum tersebut, Abdul Gani berkata, negara tidak memerlukan undang-undang pencegahan untuk menangani jenayah serius kerana memiliki pasukan polis yang mampu bertindak dengan baik.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, perkara itu akan diperhalusi dan diperbincang secara serius membabitkan semua pihak sekiranya negara benar-benar memerlukan undang-undang terbabit bagi menjamin keselamatan negara.

"Dalam kes penjenayah ganas Botak Chin, ketika itu peguam negara mampu menyelesaikan kes bukan di bawah mana-mana undang-undang pencegahan (Ordinan Darurat mahupun Akta Keselamatan Dalam Negeri) sebaliknya di bawah perundangan biasa," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Gani berkata, pihaknya sedang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada sabitan dan hukuman gantung atas dakwaan membunuh model sambilan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Saya telah bercakap perkara ini. Saya sedang memfailkan rayuan. Saya tidak akan mengulas lanjut kerana saya telah membuat kenyataan sebelum ini," katanya kepada pemberita dalam Forum 'Pengenalan Kepada Permasalahan Isu-isu Melibatkan Jantina dan Mengapa Wanita' di sini.

Ditanya sama ada beliau akan menunggu alasan penghakiman, katanya: "Saya mendengar alasan penghakiman. Jika saya tidak berpuas hati, saya failkan notis rayuan."

Walau bagaimanapun, Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes tersebut menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Mingguan Malaysia hari ini memaklumkan, pihaknya telah memfailkan rayuan berhubung kes tersebut.








No comments:

Post a comment

Member BSK