Hayat PAS Kelantan Kini Di Hujung Tanduk
Perhimpunan Orang Kelantan Naik Angin yang dianjurkan oleh NGO PERKASA yang di adakan baru-baru ini sememangnya menyebabkan ramai pemimpin dan penyokong PAS di negeri itu jadi hilang pedoman tak keruan jadinya.
Dianggarkan 15,000 orang rakyat negeri ini dari sekitar Pasir Mas, Kota Bharu dan beberapa Parlimen berdekatan berpusu-pusu membanjiri kawasan perhimpunan, mengakibatkan timbul kegeruhan dalam hati pemimpin PAS Kelantan.
Mereka langsung tak menjangkakan ribuan rakyat Kelantan termasuk dari kalangan penyokong PAS sendiri sanggup hadir meramaikan majlis tersebut yang pada awalnya diramalkan oleh pimpinan PAS Kelantan hanya akan dihadiri kurang dari 1,000 orang.
Kempen propaganda PAS Kelantan beberapa hari sebelum itu yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir selaku tetamu di majlis tersebut tidak akan dapat menarik perhatian ramai, nyata gagal sama sekali. Lain yang mereka harapkan, lain pula yang terjadi.
Panas terik mentari langsung tidak dihiraukan orang ramai, jelas sekali semakin ramai rakyat Kelantan sudah nekad dan bertekad untuk beralih arah dan bertukar cita rasa selepas hampir 23 tahun memberi peluang kepada PAS memerintah negeri.
Baru-baru ini pula, sekitar 10,000 orang rakyat Kelantan beramai-ramai memenuhi jalan-jalan sekitar Bangunan UMNO Negeri dalam protes mereka terhadap Kerajaan PAS Kelantan berhubung pemilikan tanah-tanah berpuluh ribu ekar yang kini dikuasai bukan Bumiputera termasuk pemimpin DAP.
Beberapa hari selepas itu, hampir 15,000 orang anak rantau Kelantan sekitar kuala Lumpur, Shah Alam, Negeri Sembilan dan Melaka hadir memenuhi Stadium Putra Bukit Jalil memeriahkan Himpunan Perdana Anak Kelantan Di Perantauan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Suasana sebegini meriah hanya lebih kurang 3 tahun kebelakangan ini sahaja terasa, terutama selepas PAS menang nyawa-nyawa ikan dengan majoriti 65 undi semasa PRK DUN Manek Urai 2009 yang sebelumnya dimenangi dengan majoriti 1,352 undi pada PRU 2008.
Selepas PRK Manek Urai diikuti PRK DUN Galas yang kemudiannya ditawan kembali oleh BN dari PAS, gelombang kebangkitan semakin kuat dan sejak itu apa sahaja majlis anjuran UMNO di negeri Cik Siti Wan Kembang ini pastinya mendapat sambutan berbanding majlis anjuran PAS.
Faktor pemecatan Dr Hasan Ali dan pengguguran Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai ahli Majlis Syura juga sedikit sebanyak mendorong kesedaran ramai rakyat Kelantan khususnya dari kalangan penyokong PAS veteran dan orang muda tidak berparti untuk turut sama menjayakan Gelombang Merah Kelantan Berubah yang dipelopori UMNO tika ini.
PRU 13 yang mendatang ini bakal meletakkan PAS semakin terperosok jauh ke hujung tanduk, malah berdasarkan kaji selidik terkini juga mengesahkan hampir pasti PAS akan cedera teruk tertusuk tanduk, jika tidak pun jatuh berkecai menemui ajalnya.
Dengan UMNO semakin mengukuhkan kedudukannya di 25 DUN manakala PAS hanya bergantung harap pada 17 kerusi DUN sebagai kubu terakhirnya, sementara baki 3 DUN lagi semakin condong kepada UMNO, tidak syak lagi PRU 13 adalah PRU terakhir untuk PAS sebagai Kerajaan Kelantan. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment