Jumlah Pengunjung

Wednesday, 16 October 2013

ISTERI ORANG KENA TANGKAP JUAL KETUM !!!



Polis menahan seorang suri rumah dan merampas 653 bungkusan daun ketum bernilai RM1,960 dalam serbuan di rumahnya di Kampung Pida 6 Lama, Kodiang di sini awal pagi ini.

Wanita berusia 31 tahun itu bersama suaminya dikatakan menjalankan kegiatan membeli daun ketum daripada penduduk kampung sebelum menjualnya dengan harga dua kali ganda kepada pelanggan di Thailand.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.20 pagi itu, seorang lagi individu dipercayai suami suspek melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis ke rumah mereka.

Lelaki berusia 45 tahun itu pernah dikenakan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan berkaitan daun ketum pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ibrahim Mohamed Yusoff berkata, polis menemui 653 bungkusan daun ketum seberat 98 kilogram di dalam rumah dan sebuah kenderaan pikap jenis Mitsubishi yang diletakkan di bahagian tepi kediaman berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek membeli daun ketum daripada penduduk kampung dengan harga RM10 sekilogram dan menjualnya kepada pelanggan di negara jiran dengan harga RM20 sekilogram.
“Suspek dipercayai menjalankan kegiatan haram itu sejak dua tahun lalu. Kerja-kerja membungkus daun ketum dilakukan di rumah mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri itu mampu mengaut keuntungan lumayan mencecah RM15,000 sebulan hasil kegiatan menjual daun ketum.
Katanya, kegiatan membungkus daun ketum dilakukan dua hingga tiga kali seminggu berdasarkan permintaan yang mana setiap permintaan antara 80 hingga 100 kilogram.
“Suspek yang mempunyai enam anak itu ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sudah dibebaskan dengan jamin mahkamah sebanyak RM4,000," katanya.


Ibrahim Mohamed Yusoff (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di sebuah rumah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Kedah, semalam.







No comments:

Post a comment

Member BSK