Kempen Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau yang masuk hari ketujuh
menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memasuki kawasan-kawasan peti
undi yang dahulunya merupakan kubu kuat parti pembangkang.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang melakukan walk-about
di peti undi Bukit Besar dan Matang Buluh di sini hari ini berkata,
kejayaan itu merupakan satu petanda baik bagi BN untuk menguasai semula
DUN Sungai Limau yang dikuasai Pas sejak sekian lama.
"Satu isyarat yang baik, saya diberitahu dahulu nak naikkan bendera
BN pun tak boleh di Bukit Besar, Matang Buluh dan Selengkoh. Sekarang
ini kita tengok bendera BN berkibar di sana, begitu juga poster dan
banting calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim juga sudah dinaikkan.
"Malah saya diberitahu ada orang kuat Pas yang sudah bersama kita dan
ada yang menjenguk ke bilik gerakan kita. Maksudnya mereka sudah
bersedia untuk membuat penghijrahan.
"Slogan 'Berani Hijrah' yang dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz
Tun Mahathir amat tepat sekali," kata Khairy dalam sidang akhbarnya.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, jika BN berjaya
mengurangkan bilangan undi Pas di peti-peti undi yang menjadi kubu kuat
parti itu, secara tidak langsung akan menyumbang kepada usaha merampas
kembali DUN berkenaan.
"Mana-mana yang kita kenal pasti sebagai kawasan hitam kita sudah
mula masuk. Nak kata kita menang di kawasan itu tidak tahu lagilah, tapi
sekurang-kurangnya kita nampak sudah ada peningkatan. Kalau kita boleh
kurangkan majoriti Pas di kubu mereka saya yakin secara keseluruhan kita
boleh capai kejayaan," kata beliau.
Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda BN mengambil pendekatan
sederhana dalam berkempen di Sungai Limau memandangkan para penduduk di
kawasan berkenaan tidak boleh menerima kempen yang melampau.
"Kempen kita memang rancak tetapi dari segi pendekatan kita akan
bersederhana. Sebab itu kita tak ada ceramah, tak ada konvoi
besar-besaran. Kita diberi nasihat oleh pemimpin masyarakat bahawa
rakyat di sini tidak suka cara kempen yang begitu gah. Tetapi setiap
hari kita ada program cuma dia punya pendekatan adalah sederhana,"
katanya.
KHAIRY Abu Bakar bergurau dengan salah seorang pengundi warga emas, Mohd
Isa Idris, 77, ketika melakukan kenjungan rumah ke rumah pengundi di
PDM Bukit Besar, Sungai Limau, Jerai hari ini.
No comments:
Post a Comment