Jumlah Pengunjung

Saturday, 26 October 2013

SAMPAI BILA JANGKA HAYAT POS MALAYSIA ???



Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yakin penggunaan setem tidak akan terkubur dengan kemajuan teknologi moden penghantaran surat yang ada pada masa kini.

Ketua Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, walaupun kemajuan pesat penggunaan teknologi moden penghantaran surat, beliau yakin setem masih berada pada kelasnya yang tersendiri untuk berdaya maju.

"Memang dengan adanya khidmat pesanan ringkas (SMS), dan juga pelbagai media sosial yang mampu menghantar surat, pesanan dan berita dengan sekelip mata, setem masih lagi mempunyai peminatnya tersendiri.

"Ini terbukti kerana walaupun pengeluaran setem biasa kita lihat ada sedikit penurunan, namun pengeluaran setem-setem hari pertama yang kami keluarkan meningkat naik.

"Ia disebabkan pengumpul-pengumpul setem masih lagi dahagakan pelbagai setem hari pertama yang Pos Malaysia keluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar memperkenalkan setem hari pertama terbaharu Buan-Buahan Nadir Malaysia Siri ke-IV di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengurus Pengeluaran Setem, Diyana Lean Abdullah.

Yasmin menambah, dengan adanya setem hari pertama ini, Pos Malaysia dapat memberi gambaran kepada orang ramai khususnya pengumpul setem mengenai pelbagai keunikan yang ada di negara ini.

"Sebagai contoh buah-buah nadir ini, saya pasti tidak ramai yang pernah melihat buah Nona, Markisa dan Nam-Nam. Jadi dengan adanya setem hari pertama ini, ia sedikit sebanyak membantu kita mempromosikan keunikan negara.

"Apa pun, penggunaan setem masih lagi utuh namun kita tidak menolak kemungkinan, ia bakal kurang digunakan pada masa hadapan," katanya.

Setem keluaran hari pertama Buah-Buahan Nadir Siri ke-IV pertama kali dikeluarkan pada tahun 1998 dan dijual dengan satu set lengkap bersama folder dengan harga RM60.60.

Setem-setem ini boleh diperoleh di semua pejabat Pos Malaysia bermula Isnin depan manakala set lengkap folder hanya boleh diperoleh di pejabat pos utama seluruh negara.



No comments:

Post a Comment

Member BSK