Pelakon dan penyanyi, Fida Ibrahim, 27 mengaku dia terpaksa membuat keputusan meninggalkan set penggambaran telefilem berjudul Kampungku dan Aidiladha di Baling, Kedah Ahad lalu kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.
Menurut Fida, dia bertindak sedemikian atas arahan pihak pengurusan
selepas pihak produksi, Langkah Karya Sdn. Bhd. mengabaikan kebajikan
dan keselamatan beliau.
"Babak terakhir telefilem berkenaan adalah di dalam hutan dan kami
perlu merentas hutan. Apabila sudah berada di dalam set, saya terkejut
kerana kawasan hutan itu baru saja diteroka pada ketika kami sampai di
lokasi itu.
"Pokok-pokok berbahaya seperti buluh misalnya, baru sahaj ditebang
oleh krew. Memang tiada unsur-unsur keselamatan yang diamalkan sehingga
menyebabkan saya jadi fobia untuk terus berada di situ. Selain itu,
tempat untuk kami menukar pakaian pun tidak sesuai kerana di kawasan
terbuka," kata Fida hari ini.
Semalam, penerbit telefilem tersebut, Hazmimi Johar melahirkan rasa
kesal dengan tindakan Fida yang didakwa telah lari meninggalkan lokasi
penggambaran di hari terakhir karya berkenaan sehingga menimbulkan
masalah kepada produksi.
Beliau mendakwa Fida bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati
dengan skrip yang diungkap oleh salah seorang pelakon lain di lokasi
kejadian yang seakan menyindir diri Fida.
Mengulas isu terbabit, Fida mengakui dia memang terasa hati dengan
salah seorang pelakon berkenaan, itu bukan sebab utama dia bergegas
meninggalkan lokasi.
"Saya masih boleh bersabar apabila disindir oleh salah seorang
pelakon. Tetapi apabila ia berkaitan soal keselamatan, saya tidak boleh
bersabar lagi dan terpaksa membuat keputusan meninggalkan lokasi
terbabit," katanya.
Bagi membela dirinya, tambah Fida aduan sudahpun dibuat kepada Biro
Aduan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada Isnin lalu dan pihak
terbabit sedang menjalankan penyiasatan mereka.
Selain Fida, telefilem arahan Shuaimi Lua Abdullah bersempena Hari
Raya Aidiladha untuk siaran TV3 turut dibintangi oleh Zalif Sidek, Razak
Ahmad, Syafiq Kyle, Ameera Rusly dan Aidil Aziz.
No comments:
Post a Comment