Seorang peniaga pasar malam dan teman wanitanya
cedera dipukul tiga lelaki sehingga masing-masing terpaksa menerima 10
dan lima jahitan di kepala gara-gara persaingan perniagaan di kawasan
pasar malam di Medan Ipoh di sini, Selasa lalu.
Desmond Foo Khai Yik, 29, mendakwa kejadian berlaku kira-kira pukul
10 malam ketika mereka sedang berniaga aksesori telefon bimbit di situ
sebelum muncul ketiga-tiga lelaki berusia 20 hingga 50 tahun lalu
memukulnya dengan kayu, besi dan kerusi lipat.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka yang merupakan satu keluarga
dikenalinya dan turut berniaga aksesori telefon bimbit di pasar malam
berkenaan.
"Teman wanita saya, Liew Wai Sim, 26, cuba meleraikan serangan itu
tetapi dia turut dipukul. Berikutan itu, kami cedera di kepala dan
terpaksa dijahit selain bengkak di bahagian badan.
"Kami tidak pernah bergaduh cuma sebelum ini ada berlaku sedikit
pertengkaran kecil berkaitan peniagaan," katanya dalam sidang akhbar di
sini hari ini.
Khai Yik memberitahu, kesemua mereka hanya berhenti memukulnya dan Wai Sim selepas beberapa orang awam datang meleraikannya.
Dia yang hampir pitam dan Wai Sim kemudian dibawa orang awam ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan.
"Pada masa sama, kami turut diugut ketiga-tiga mereka jika cuba
membuat laporan polis. Sejak pergaduhan tersebut, saya belum lagi
membuka perniagaan kerana bimbang tentang keselamatan kami.
"Saya berharap pihak berkuasa dapat segera menjalankan siasatan
kerana kami berasa amat takut jika berlaku sesuatu yang buruk," katanya.
No comments:
Post a Comment