Jumlah Pengunjung

Friday 6 September 2013

GENG KONGSI GELAP TAK DAPAT MELANCONG !!!



Polis telah menempatkan pasukan khas di sempadan Malaysia-Thailand di Pangkalan Hulu, Gerik untuk mengawasi ahli pertubuhan haram, termasuk kongsi-kongsi gelap yang cuba melarikan diri ke negara jiran bagi mengelak ditangkap dalam Op Cantas Khas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, pasukan khas itu akan menangkap mana-mana individu disyaki menjadi ahli kongsi gelap yang cuba keluar dari negara ini melalui pintu sempadan di utara Perak dan selatan Thailand.
Katanya, pada masa sama, pasukan khas itu turut memantau pergerakan ahli kumpulan tersebut di negeri ini.

"Kita telah letakkan pasukan khas di pintu sempadan untuk mengawasi mereka yang cuba melarikan diri termasuk jika ingin membuang tatu logo pada lengan mereka di Betong, Thailand melalui Pangkalan Hulu di Gerik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Program Pendidikan Kewangan yang dirasmikan oleh Ketua Polis negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani di Pangkalan Latihan, Pasukan Gerakan Udara di sini hari ini.
Program anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak itu bertujuan memberikan pendedahan kepada anggota dan pegawai polis mengenai pengurusan kewangan bagi menangani jenayah perbankan.

Menurut Mohd. Dzuraidi, sehingga semalam, seramai sembilan orang dipercayai ahli Geng 36 telah ditangkap di negeri ini dalam Op Cantas Khas untuk membanteras kumpulan kongsi gelap sejak kelmarin.
"Kesemua yang ditangkap ada kesan calar dan tatu pada tangan yang kita boleh syak sebagai ahli pertubuhan yang diharamkan. Mereka disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam kejadian 1 September lalu, seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipercayai salah seorang ketua kongsi gelap Geng 36 di Batu Gajah mati ditembak di Taman Rishah di sini.
Ditanya perkembangan siasatan kes seorang tahanan polis yang melarikan diri semasa berhenti membuang air kecil di Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol dekat Bagan Serai kelmarin, beliau berkata, setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Mohd. Dzuraidi berkata, polis masih menjalankan gerakan untuk mengesan tahanan tersebut, termasuk mencari lelaki yang membantu orang kena tuduh berkenaan melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha.






No comments:

Post a Comment

Member BSK