Dua lelaki didenda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan menghalang dan memecahkan cermin sebuah bas pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu.
Penjual telefon bimbit, Gew Chen Hsiang, 32, didenda RM700 atau penjara sebulan manakala juruteknik pendingin hawa, Chua Kian Boon, 21, didenda RM7,000 atau penjara 24 bulan.
Kedua-dua mereka sepatutnya mula dibicarakan hari ini tetapi mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Majistret Mohd. Fathly Yaacob menjatuhkan hukuman itu terhadap Chen Hsiang yang mengaku bersalah atas dakwaan menahan sebuah bas Wawasan Sutera bernombor pendaftaran WNL 3698 yang pada ketika itu dinaiki oleh 23 penumpang.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.
Kian Boon pula dijatuhi hukuman tersebut atas kesalahan telah menggunakan seketul batu dalam satu rusuhan sebagai senjata untuk memecahkan cermin bas yang sama.
Kesalahan yang didakwa dilakukan dengan beberapa individu yang masih bebas telah menyebabkan syarikat bas terbabit mengalami kerugian sebanyak RM30,000.
Pertuduhan terhadap Kian Boon dibuat mengikut Seksyen 148 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3.45 petang, 5 Mei lalu di Jalan Sijangkang, Pandamaran dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abd. Latiff manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam V. Murali dan C. Y. Ng.
Kedua-dua tertuduh membayar denda masing-masing.
No comments:
Post a Comment