Jumlah Pengunjung
Thursday, 8 November 2012
Mencari nafkah halal setaraf jihad !!!
Minggu lalu penulis menulis fenomena kerakusan umat Islam terjebak dengan aktiviti pelaburan emas tanpa mempedulikan aspek halal-haram transaksi yang disertai. Sebagai kesinambungan penulisan terdahulu, minggu ini penulis ingin memfokuskan terhadap kepentingan bekerja untuk mencari rezeki halal.
Sesungguhnya Islam melihat pekerjaan sebagai suatu yang cukup bernilai. Malah Islam menganggap kasbu al-halal atau bekerja untuk memperoleh pendapatan halal adalah suatu jihad (maksud hadis). Sebab itu jugalah Islam menganjurkan umatnya bekerja keras bukan saja untuk kebaikan di akhirat, bahkan kecemerlangan hidup di dunia.
Usaha setiap manusia untuk mencari nafkah yang halal bagi menyara diri, keluarganya atau untuk membantu kaum kerabat dan jiran tetangga pada hakikatnya diletakkan setaraf dengan kedudukan berjihad di jalan ALLAH.
Firman ALLAH dalam al-Quran: “Dan sebahagian manusia berjalan di muka bumi mencari sebahagian daripada (rezeki) anugerah Allah. Sebahagian yang lain pula berperang di jalan ALLAH” (Al-Muzammil:20)
Diriwayatkan bahawa Saidina Umar Al-Khattab berkata, “Keadaan yang paling aku sukai bila ajal menjemputku ialah apabila aku sedang berjihad di jalan ALLAH. Kemudian keadaan di mana aku sedang mencari rezeki kurniaan ALLAH. Beliau membaca ayat di atas.
Banyak lagi ayat al-Quran lain yang menyokong prinsip bekerja dan mencari rezeki halal. Bahkan Nabi Muhammad SAW sentiasa memperingatkan sahabat-sahabatnya dan umat Islam secara keseluruhannya agar bekerja bersungguh-sungguh bagi mencari rezeki halal. Ini kerana setiap pekerjaan yang baik merupakan suatu ibadah yang bakal mendapat ganjaran dan maghfirah ALLAH.
Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang bermalam dalam keadaan penat kerana mencari rezeki yang halal maka dia bermalam dalam keampunan (Tuhan)”. (Riwayat Ibnu Asakir daripada Anas).
Penegasan mengenai kepentingan mencari rezeki yang halal melalui titik peluh sendiri tanpa meminta-minta untuk mengharapkan belas ihsan orang lain turut dinukilkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang lain: “Makanan terbaik yang dimakan oleh seseorang itu ialah makanan yang diperolehnya daripada hasil kerja tangannya sendiri”. (Riwayat Al-Bukhari).
Keyakinan bahawa setiap usaha dan titik peluh yang dicurahkan untuk bekerja mencari rezeki halal akan dinilai dan diberi ganjaran pahala oleh ALLAH akan menumbuhkan perasaan lebih menghargai dan mencintai pekerjaan yang dilakukannya. Kerja dilakukan penuh dedikasi tanpa unsur penyelewengan akan membawa barakah, sebaliknya perlakuan curang dan tidak amanah hanya akan membawa padah.
Budaya kerja disemangati nilai-nilai Islam ini juga diharap dapat menghindari perbuatan tidak baik dan tidak bermoral dalam pekerjaan. Memang kebelakangan ini kita menyaksikan semakin meluasnya gaya hidup menyeleweng seperti individualistik dan materialistik.
Gaya hidup sedemikianlah yang menjadi punca membiaknya pelbagai penyakit sosial seperti rasuah, penipuan, pecah amanah, curi tulang dalam bekerja dan lain-lain yang boleh menjejaskan keberkatan pekerjaan.
Hilangnya keberkatan bermakna manusia tidak lagi memperoleh kebahagiaan hakiki dan ketenangan dalam hidup yang dijanjikan ALLAH kepada orang Islam yang bertakwa dan bekerja dengan ikhlas mengikut ajaran dan prinsip Islam sejati.
Hilangnya keberkatan jugalah menyebabkan hidup kita sentiasa berada dalam kesulitan, kepayahan dan kerunsingan dalam rumah tangga. Suami-isteri berterusan berselisih faham, anak-anak menimbulkan kesusahan, rezeki diperoleh tidak pernah rasa cukup dan menggembirakan seisi keluarga.
Sebab itulah pentingnya mencari rezeki halal dengan berpegang teguh kepada segala peraturan, prinsip dan nilai yang telah digariskan Islam.
Buat akhirnya, dinukilkan di sini sebuah doa yang diajarkan khusus oleh Nabi Muhammad SAW kepada Abu Dzar Al-Giffarri tatkala berada dalam kesusahan. Doa ini amat baik sekali untuk diamalkan bagi mendapat barakah ALLAH dalam kita bekerja mencari rezeki halal setiap hari.
“Ya ALLAH, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu dari rasa lemah dan malas, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment