Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta campur tangan daripada negara luar untuk memantau Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai perbuatan khianat kepada negara.
Menurut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pembangkang
hakikatnya dengki dan berniat jahat terhadap Barisan Nasional sehingga
sanggup berbuat demikian demi menggambarkan pilihan raya di negara ini
kotor.
"Dia hendak berbohong kepada dunia kononnya pilihan raya kita kotor.
"Bagi kita, ini hanyalah taktik kotor orang yang bermimpi untuk menawan
Putrajaya, awal-awal lagi mengatakan pilihan raya di negara kita tidak
adil.
"Barangkali dia pun sudah tahu bahawa pembangkang akan kalah dalam
pilihan raya nanti. Jadi, lebih baik dibuat propaganda awal bahawa
pilihan raya negara kita tidak adil, supaya apabila mereka kalah dalam
pilihan raya, senanglah untuk mereka menuduh bahawa kita tidak berlaku
adil kepada mereka,"katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian
serentak ketiga-tiga sayap Umno di Perhimpunan Agung Umno kali ke-66,
malam ini.
Anwar baru-baru ini cuba mendapatkan bantuan daripada kerajaan
Australia untuk memastikan pilihan raya umum di negara ini berjalan
secara bebas dan adil di Malaysia.
Permintaan Ketua Umum PKR itu bagaimanapun ditolak Menteri Luar
Australia, Senator Bob Carr yang berkata, Australia tidak boleh dan
tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di
Malaysia.
Anwar dilaporkan memberitahu Carr bahawa beliau menemui bukti tentang
penipuan dalam pendaftaran pemilih dan anomali lain dalam menghadapi
pilihan raya itu.
Beliau turut mempertikai kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mendakwa pembangkang diketepikan oleh media.
Menurut Muhyiddin, tindakan pembangkang berbuat demikian hanyalah
semata-mata untuk menghalalkan perbuatan mereka selepas itu jika kalah
dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ini nanti.
"Senang jugalah untuk mereka berhimpun di jalan-jalan raya bagi menolak keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
"Kita fikir lebih baik Ketua Pembangkang menjemput wakil negara asing
untuk memerhati pemilihan PKR. Kita hendak tengok apa komen pemerhati
asing mengenai PKR. Bersihkah pemilihan PKR? Bebaskah pemilihan PKR?
Adil kah pemilihan PKR? Demokratikkah PKR apabila Ketua Pembangkang
mengangkat dirinya sendiri menjadi Ketua Umum parti tanpa melalui
proses pemilihan?,"kata Muhyiddin.
No comments:
Post a Comment