Jumlah Pengunjung

Wednesday 7 November 2012

Lebih 46,000 kerja baru diwujud



ejumlah RM87.3 bilion pelaburan yang membabitkan 2,831 projek telah diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi negara dan seterusnya mewujudkan lebih 46,000 peluang pekerjaan baru dari Januari hingga Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, daripada jumlah tersebut, RM21.2 bilion atau 24.3 peratus merupakan pelaburan asing manakala RM66.1 bilion (75.7 peratus) pula adalah pelaburan domestik.
Katanya, daripada jumlah tersebut sektor perkhidmatan menerima pelaburan berjumlah RM59 bilion, sektor perkilangan mencatat pelaburan RM25 bilion dan sektor utama pula berjumlah RM2.5 bilion.
"Pecahan mengikut negeri pula, Selangor, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang menerima pelaburan tertinggi dengan masing-masing mencatatkan pelaburan berjumlah RM6 bilion, RM4.8 bilion dan RM4.6 bilion.
"Sementara itu, Kelantan menerima pelaburan berjumlah RM4.4 juta dan Perlis pula tidak menerima sebarang pelaburan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) tentang jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik di negeri-negeri seluruh negara.
Dalam pada itu, Mukhriz menjelaskan, pelbagai langkah telah diambil kerajaan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan aliran kemasukan pelaburan asing antaranya dengan mengenal pasti 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Selain itu, katanya, kerajaan telah berusaha meningkatkan pelaburan dengan menjemput agensi kerajaan negeri yang berkaitan dengan pelaburan seperti Pusat Pelaburan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri untuk menyertai misi pelaburan serta perdagangan ke luar negara.
"Bukan itu sahaja, kerajaan juga menaik taraf infrastruktur asas di kawasan perindustrian di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membantu kerajaan negeri memastikan jalan raya, lampu jalan dan perparitan berkeadaan baik.
"Malah, kerajaan telah menawarkan insentif yang menarik seperti Galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi tempoh lima hingga 10 tahun," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Member BSK