Jumlah Pengunjung

Tuesday 6 November 2012

Fathul Bari: 'Soi Lek hanya persoal hudud versi Pas'



SHAH ALAM – Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum ini yang mengecam pelaksanaan hudud adalah berdasarkan kajian dan analisis ke atas enakmen hudud yang mahu dilaksanakan Pas di Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sebagai bukan Islam, rujukan Soi Lek adalah berbeza kerana beliau merujuk kepada ekonomi, keamanan dan pendapatan negara jika hudud dilaksanakan.

Menurutnya, oleh sebab maklumat yang tidak tepat itu, Soi Lek sering mengeluarkan kenyataan yang keras mengenai hudud.

Menurutnya, atas inisiatif sendiri, Ilmu mengadakan pertemuan dengan Soi Lek dan beberapa pemimpin MCA lain bagi menerangkan isu ini.

“Beliau (Soi Lek) faham dan menghormati bahawa hudud adalah undang-undang Islam dan seluruh umat Islam patut menerima hudud. Beliau juga faham Islam adalah agama Persekutuan.

“Apa yang beliau tentang adalah hudud versi Pas yang dilihat berat sebelah, beliau risau berlaku diskriminasi contohnya jika berlaku kecurian. Pencurinya seorang Islam dan bukan Islam. Jika cukup bukti, seorang dipotong tangan dan seorang lagi tidak, ini memberi implikasi besar kepada rakyat dan negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ditanya sama ada Soi Lek menerima hudud dilaksanakan ke atas semua rakyat, Fathul menjelaskan Soi Lek mendukung prinsip demokrasi.

“Jika majoriti rakyat mahukan hudud untuk semua, maka beliau terima, jika majoriti mahu hudud versi Pas juga beliau terima, negara kita negara demokrasi,” katanya.

Selain itu, Fathul turut menegaskan bahawa tidak adil untuk menyatakan keseluruhan enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu tidak tepat kerana banyak perkara yang menepati syarat dan al-Quran.

“Undang-undang yang dibuat manusia terdedah kepada kelemahan dan tidak maksum, apa yang maksum adalah undang-undang ALLAH sahaja. Maka pembetulan perlu dilakukan,” katanya.

Fathul turut mengucapkan terima kasih kepada MCA yang menyambut baik kedatangan rombongannya dan sudi berbincang mengenai hudud.

“Perbincangan ini berjalan dengan amat baik sekali, semua pihak menerima pandangan masing-masing. Walaupun isu hudud ini sensitif, tetapi mereka mendengar dengan baik,” katanya.

Kelmarin, Soi Lek menegaskan beliau tidak pernah menghina undang-undang Islam, hanya mempersoalkan hudud versi Pas.

No comments:

Post a Comment

Member BSK